Kuasa Bank Islam Mega Sumbang RM230,000 Kepada Viva Palestina




Petaling Jaya: Cadangan penggabungan antara Malaysia Building Society Berhad (MBSB), Kumpulan CIMB Berhad dan RHB Capital Berhad sebagai Bank Islam Mega diharap dapat membawa imej sebuah institusi perbankan Islam yang mampu bersaing di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif MBSB, Datuk Ahmad Zaini Othman berkata, Bank Islam Mega itu juga mesti menjadi francais yang mencerminkan pembabitan aktif Malaysia dalam industri perbankan Islam.
“Semua pihak perlu bekerjasama untuk membentuk entiti ini dan memenuhi jangkaan industri perbankan dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk melihat Bank Islam Mega ini menyumbang kepada industri perbankan Islam lebih baik berbanding pada masa ini,” katanya pada majlis rumah terbuka Aidilfitri MBSB dan penyampaian sumbangan wang tunai berjumlah RM230,000 kepada Viva Palestina di sini, semalam.

Pada 10 Julai lalu, ketiga-tiga pihak diberi kebenaran oleh BNM untuk melakukan perbincangan mengenai usaha terbabit.
PENGERUSI MBSB Tan Sri Abdul Halim Ali (tengah) bersama Ahmad zaini menyerahkan sumbangan kepada Bendahari Viva Palestina Malaysia, Puan Sri Norma Hashim.

Ketika ini, ketiga-tiga pihak terbabit sedang mengadakan sesi rundingan untuk melihat pembentukan sebuah Bank Islam Mega sebagai institusi yang dinamik dan berdaya saing.

Beliau berkata, pihaknya sedang menilai pelbagai kemungkinan dan pilihan termasuk melihat kembali kepada kedudukan dan kekuatan antara tiga entiti terbabit.

“Perbincangan kami masih lagi berada pada peringkat operasi dan kerja. Penasihat kewangan dan undang-undang bagi ketiga-tiga pihak sedang berbincang mengenai usaha penggabungan terbabit,” katanya.

Ahmad Zaini berkata, penggabungan itu dijangka menyumbang kepada penstrukturan pekerja bagi ketiga-tiga entiti terbabit melalui Skim Pemberhentian Sukarela (VSS), namun ia belum diputuskan.

“Pada masa ini, VSS adalah perkara yang sukar untuk dikatakan kerana kami belum mengetahui saiz sebenar penggabungan ini,” katanya.

0 comments:

Post a Comment