Bank Rakyat Credit Card-i


Kuala Lumpur: Bank Rakyat menyasar menarik kira-kira 10,000 pengguna kad jenama bersama terbarunya iaitu Credit Card-i menerusi kerjasama dengan Takaful Ikhlas, menjelang akhir tahun ini.
Pengarah Urusannya, Datuk Mustafha Abdul Razak berkata, bank sentiasa mencari peluang untuk mempelbagaikan produk serta perkhidmatan dan menubuhkan pusat untuk memberi khidmat kepada pemegang kad. 
“Bank amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Takaful Ikhlas yang juga antara syarikat takaful terkenal di negara ini,” katanya pada majlis pelancaran kad kredit itu di sini, semalam.
Mustafha berkata, kerjasama itu akan membolehkan kedua-dua pihak mendapat faedah bersama dari segi meningkatkan asas pelanggan. 
Ini adalah kerjasama ketiga Bank Rakyat dengan syarikat lain dalam perniagaan kad kredit-i. Ia mempunyai hubungan yang sama dengan Koperasi Belia 1Malaysia (KOB1M) dan Koperasi Perkhidmatan Pelajaran Nasional Bhd (KOPENAS).
Beliau berkata, bank menyasar menarik 60,000 pemegang kad pada tahun ini melalui kerjasamanya dengan dengan KOB1M, KOPENAS dan Takaful Ikhlas.
“Daripada 60,000, seramai 10,000 pengguna akan disumbangkan oleh Takaful Ikhlas melalui kad jenama bersama itu,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai bagaimana Bank Rakyat dan Takaful Ikhlas akan dapat menarik lebih ramai orang mendaftar kad dengan kemungkinan berlakunya inflasi pada pertengahan tahun ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas, Ab Latiff Abu Bakar berkata, perkara itu tidak akan menjadi masalah.
“Dengan faedah-faedah melalui kad jenama bersama ini, pengguna boleh berjimat lebih banyak daripada membelanjakannya,” katanya.

0 comments:

Post a Comment