Pembiayaan motosikal kuasa tinggi Bank Islam


BANK Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) akan memperluaskan kemudahan pembiayaan kenderaan kepada pembelian motosikal berkuasa tinggi berkuat kuasa serta-merta.

Pengarah Pembangunan Perniagaan Bank Islam, Khairul Kamarudin berkata, Bank Islam menawarkan kemudahan ini bagi memenuhi permintaan dan keperluan gaya hidup semasa pelanggan.

"Kami menjangkakan peningkatan penggemar motosikal berkuasa tinggi dan rata-rata memerlukan pembiayaan bagi kenderaan itu.

"Kami melihat potensi kewangan bagi motosikal berkuasa tinggi dan segmen pasaran ini masih belum diterokai oleh Bank Islam," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, semalam.

Margin pembiayaan untuk pembelian motosikal berkuasa tinggi adalah sehingga 70 peratus bagi tempoh tiga hingga tujuh tahun.

Kadar keuntungan yang berbeza-beza mengikut tempoh dan jenis adalah sangat kompetitif dan konsep pembiayaan adalah 100 peratus berdasarkan Syariah.

Selain pembiayaan motosikal, Bank Islam juga menawarkan kemudahan pembiayaan bagi graduan yang ingin membeli kereta pertama, ‘Gradhitz-i’ dan pembiayaan kenderaan kepada sektor swasta dan kakitangan kerajaan pada terma dan keadaan yang sangat kompetitif.

0 comments:

Post a Comment